Muka

Rabu, 29 Ogos 2012

PERTUMBUHAN & PERKEMBANGAN KANAK-KANAK








DISEDIAKAN OLEH: SURESH VADIVELOO


1.0 PENGENALAN

Setiap yang hidup mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Perkembangan adalah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan sudah berlaku yang melihatkan sifat berlainan daripada peringkat yang terdahulu. Arnold Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.
Perkembangan kanak-kanak dapat dilihat dari segi fizikal dan kognitif. Perkembangan kognitf kanak-kanak menjelaskan tentang perubahan dari segi tahap pemikiran mereka dalam pembelajaran sesuatu bidang ilmu dan pengalaman yang diperolehi yang sentiasa berubah-ubah mengikut usia. Pelbagai teori dan model telah dikaji bagi menerangkan tentang perkembangan kognitf kanak-kanak. Teori kognitif menekankan tentang pentingnya proses pemikiran dalam pemlbelajaran dan memberi perhatian kepada pengaruh faktor dalaman.
Terdapat beberapa tokoh yang telah mengemukakan pendapat mereka berkaitan dengan teori perkembangan kognitif ini antaranya ialah ahli psikologi Jean Piaget, Arnold gesell, Robert Havighhurst, Erikson dan  Lawrence kohlber. Teori dan kajian mereka bertumpu kepada bagaimana maklumat diproses di dalam otak, bagaimana mendapatkannya semula, bagaimana kanak-kanak melalui proses membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

 
2.0 TEORI-TEORI PERTUMBUHAN DAN PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

2.1 TEORI PERKEMBANGAN KOGNITIF JEAN PIAGET

          Jean Piaget dilahirkan di Nauchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896. Jean merupakan anak pertama yang suka berdikari dan berminat tentang ilmu alam. Beliau memulakan kariernya sebagai penulis pada usia yang teramat muda iaitu 10 tahun. Selepas tamat sekolah menengah, Jean melanjutkan pelajaran ke Universiti Nauchatel. Beliau mendapat PhD semasa berumur 22 tahun. Jean mula meminati Psikologi apabila beliau terpilih menjadi pengarah makmal Psikologi di Universiti Geneva. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai ketua "Swiss Society for Psychologist."Dalam bidang Psikologi, Jean merupakan salah satu tokoh yang amat penting di abad ke dua puluh. Latar belakang beliau ini memberikan banyak sumbangan kepada bidang psikologi.
Pada pandangan Jean Piaget, pola-pola perlakuan ini boleh memberikan petunjuk bagi pengetahuan bagaimana proses pembentukan pemikiran berkembang di kalangan kanak-kanak. Ekoran daripada itu, teori yang beliau kemukakan ialah memfokuskan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak  Piaget telah mengemukakan satu teori untuk menghuraikan bagaimana proses pemikiran berkembang dari masa kecil sehingga ke dewasa.
Teori perkembangan kognitif Jean Piaget adalah salah satu teori yang menjelaskan bagaimana kanak-kanak menginterpretasikan objek dan kejadian-kejadian sekitarnya. Bagaimana kanak-kanak mempelajari ciri-ciri dan fungsi dari objek-objek  seperti mainan,  perabot, dan makanan serta objek-objek sosial seperti diri, orang tua dan teman. Bagaimana cara kanak-kanak mengelompokkan objek-objek untuk mengetahui persamaan-persamaan dan perbezaan-perbezaannya, untuk memahami penyebab terjadinya perubahan dalam objek-objek dan perisiwa-peristiwa dan untuk membentuk perkiraan tentang objek dan peristiwa tersebut.
Jean Piaget percaya fungsi kecerdasan adalah untuk membantu menyesuaikan diri iaitu adaptasi kanak-kanak terhadap persekitaran. Fokus penyesuaian adalah berdasarkan perkembangan kognitif yang dilihat bersama-sama dengan respon kompleks yang dialami terhadap persekitaran. Dengan meningkatnya pembelajaran dan kematangan kanak-kanak, kedua-dua kecerdasan dan manifestasinya menjadi berbeza-beza. Piaget percaya perkembangan berlaku dalam tahap-tahap yang mengalami perubahan melalui equilibration iaitu penyeimbangan, keadaan yang menyebabkan kanak-kanak mencari suatu keseimbangan di antara apa yang dialami dalam persekitaran dengan proses dan struktur kognitif yang dihadapinya.
Menurut Jean Piaget, proses keseimbangan iaitu asimilasi dan akomodasi berkaitan antara perubahan dengan perkembangan kognitif. Asimilasi dari sudut biologi adalah integrasi antara elemen-elemen eksternal (dari luar) terhadap struktur yang sudah lengkap pada organisme.  Asimilasi kognitif meliputi objek eksternal menjadi struktur pengetahuan internal.  Proses asimilasi ini didasarkan atas kenyataan bahawa setiap saat manusia selalu mengasimilasikan informasi-informasi yang sampai kepadanya, kemudian informasi-informasi tersebut dikelompokkan ke dalam istilah-istilah yang sebelumnya telah mereka ketahui.
Manakala akomodasi adalah menciptakan langkah baru atau memperbaharui atau menggabung-gabungkan istilah lama untuk menghadapi cabaran baru. Akomodasi kognitif bermaksud mengubah struktur kognitif yang telah dimiliki sebelumnya untuk disesuaikan dengan objek stimulus eksternal. Jika pada asimilasi berlaku perubahan pada objeknya, maka pada akomodasi perubahan terjadi pada subjeknya, sehingga ia dapat menyesuaiakan diri dengan objek yang ada di luar dirinya. Struktur kognitif yang sudah ada dalam diri seseorang mengalami perubahan supaya sesuai dengan rangsangan-rangsangan objeknya. Jean Piaget membahagikan perkembangan kognitif kepada empat tahap iaitu sensori motor, praoperasi, operasi konkrit dan operasi formal.
Tahap sensori motor bermula sejak lahir hingga kanak-kanak berumur dua tahun. Menurut Piaget, kanak-kanak pada tahap ini lebih berfokus terhadap apa yang dipersepsikan melalui deria. Bayi tidak mempunyai deria terhadap pengekalan objek, iaitu suatu keadaan di mana objek-objek memang wujud walaupun tidak dapat dipersepsikan oleh bayi. Pada akhir tahap ini, iaitu dalam lingkungan 18 hingga 24 bulan, kanak-kanak mula menunjukkan tanda-tanda representasi iaitu representasi dalaman terhadap rangsangan luaran. Pada masa ini, kanak-kanak mula memikirkan tentang orang dan benda tetapi tidak semestinya dapat mempersepsi pada masa tersebut. Ini adalah masa peralihan kepada tahap praoperasi seseorang kanak-kanak.
          Pada tahap praoperasi, iaitu umur dalam lingkungan dua tahun hingga lebih kurang enam atau tujuh tahun kanak-kanak mula membina representasi mental secara dalaman dengan aktif yang telah mula beroperasi pada akhir tahap sensori motor. Dengan adanya pemikiran representasi maka muncul komunikasi verbal. Namun, komunikasi tersebut lebih egosentrik. Pada tahap ini kanak-kanak akan bercakap mengikut mindanya dengan tidak mempedulikan apa yang disebut oleh orang lain. Pada tahap ini juga, keupayaan kanak-kanak untuk memanipulasikan konsep masih terhad. Kanak-kanak memberi tumpuan pada satu aspek yang dapat dilihat daripada objek atau situasi yang disebut centration. Pada tahap ini banyak perubahan perkembangan berlaku. Kanak-kanak semakin aktif dan mengalami pelbagai ujian, bereksperimen dengan menggunakan bahasa dan objek atau benda di persekitarannya.
Tahap operasi konkrit bermula pada umur tujuh atau lapan dan sehingga 11 tahun atau 12 tahun. Kanak-kanak dapat memanipulasi dan membentuk representasi mental secara dalaman. Mereka mempunyai pelbagai pemikiran dan memori tentang objek-objek yang konkrit seperti komputer, perabot dan sebagainya. Dalam eksperimen konservasi kuantiti yang dilakukan oleh Piaget, kanak-kanak dapat mengabadikan dalam minda kuantiti dan memerhatikan perubahan dalam bentuk luaran objek atau benda-benda lain. Pada mulanya, kanak-kanak bergantung pada persepsi segera seperti rupa bentuk objek secara luaran. Dengan perlahan-lahan mereka membentuk peraturan dan skema dalaman tentang apa dan bagaimana sesuatu perkara berlaku. Seterusnya, mereka akan menggunakan skema dalaman untuk memberi panduan tentang penakulannya daripada bentuk luaran sahaja. Kanak-kanak pada tahap operasi konkrit ini dapat memanipulasi representasi dalaman objek-objek yang konkrit untuk mengesan dan mengenal pasti kuantiti-kuantiti yang terkandung di dalamnya.
Tahap yang terakhir ialah tahap operasi formal yang bermula pada umur 11 tahun atau 12 tahun dan seterusnya. Tahap ini melibatkan operasi mental pada tahap yang abstrak dan simbol yang mungkin tidak mempunyai bentuk fizikal dan konkrit. Kanak-kanak memahami perkara-perkara yang mungkin mereka tidak terlibat dan alami secara langsung. Selain itu, kanak-kanak ini dapat membentuk dan mencari untuk mewujudkan representasi mental pada situasi yang dihadapinya dengan logik. Oleh itu, perkembangan kognitif adalah berasaskan tahap demi tahap. Bagi Piaget, tahap-tahap ini berlaku pada usia yang sama bagi kanak-kanak. Setiap tahap berlaku dalam bentuk yang sama dan tidak berubah-ubah. Apabila kanak-kanak memasuki tahap baru, kanak-kanak memikirkan cara-cara dan ciri-ciri yang dikenal pasti dalam tahap berkenaan dengan nyata dan berkesan.

2.2 TEORI KEMATANGAN ARNOLD GESELL
          Arnold Gesell atau nama sebenarnya ialah Arnold Lucias Gesell. Beliau dilahirkan pada 21 Jun 1880, di Alma, Wisconsin. Beliau merupakan seorang pakar kanak-kanak yang merintis kajian mengenai proses perkembangan manusia semenjak lahir sehingga remaja. Beliau memfokuskan kajian secara saintifik dalam bidang perkembangan kanak-kanak. Keluarganya amat menghargai akan pendidikan . Pada awalnya Gessell membuat keputusan untuk menjadi seorang guru. Beliau berkelulusan dari University of Wisconsin pada tahan 1903 dan kemudiannya menjadi pengetua dan guru di sekolah tinggi sebelum beliau memasuki Clark University dimana Gasell telah menerima Phd pada tahun 1906 di university tersebut.
          Arnold Gasell percaya bahawa dalam usaha untuk membuat kajian dalam perkembangan kanak-kanak, beliau perlu mengetahui mengenai perubatan. Oleh itu, beliau telah menyambung pendidikannya dalam bidang perubatan di Yale dan menerima M.D pada tahun 1915. Setelah menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya dengan mengajar psikologi dan kebersihan kanak-kanak di Los Angeles State Normal School. Gesell telah menyertai salah sebuah fakulti yang terdapat di Yale dan beliau menjadi penolong professor pendidikan pada tahun 1911 dan menubuhkan dan menguruskan Yale Clinic Of Child Development pada tahun yang sama hingga tahun 1948. Dari tahun 1948 hingga ke akhir hayatnya, Gesell merupakan pengarah kepada Gesell Institute Of Child Development di New Haven, Connecticut iaitu sebuah insitut yang mengkaji perkembangan kanak-kanak. Gasell telah meninggal dunia pada 29 May 1961.
          Dalam teori kematangan ini, Gesell memfokuskan kepada kematangan individu dimana dalam proses kematangan ini ia dipengaruhi oleh dua faktor iaitu faktor baka dan persekitaran yang menjadi penggerak utama kepada pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak itu. Faktor baka atau dikenali sebagai gen ini akan diwarisi oleh kanak-kanak sejak pembentukan mereka di dalam rahim iaitu semasa proses persenyawaan sehingga proses kelahiran. Mereka akan mewarisi segala sifat, perwatakan,kebolehan dan kematangan yang dimiliki oleh ibu dan bapanya semenjak lahir hingga dewasa. Bagi melengkapkan lagi proses kematangan ini, ia juga dipengaruhi oleh persekitaran yang memainkan peranan untuk membantu proses kematangan bayi itu.
          Faktor persekitaran ini merujuk kepada persekitaran bayi di dalam rahim ibu dimana pengambilan makanan yang dilakukan oleh ibu, kesihatan dan bekalan oksigen yang cukup kepada bayi dalam rahim amat mempengaruhi proses pertumbuhan dan perkembangan mereka. Menurut beliau, proses kematangan ini tidak boleh dipaksa kerana beliau berpendapat bahawa kematangan ini akan berlaku apabila kebolehan kanak-kanak itu sampai kepada titik dan kematangan tertentu iaitu mengikut pola dan urutan yang tersendiri. Ini bermakna selagi sistem saraf dan kematangan fizikal bayi belum bersedia maka ibu bapa tidak boleh memaksa bayi untuk melakukan sesuatu kemahiran tertentu.
          Dengan itu, Gesell lebih menitikberatkan keupayaan ibu bapa untuk mengajar kanak-kanak akan perkara terdahulu daripada jadual. Contohnya kanak-kanak akan duduk, berjalan, dan bercakap apabila mereka bersedia dan sistem saraf sudah matang dengan sepenuhnya. Pada masa yang sama mereka mula menguasai sesuatu tugasan yang datang dari keinginan diri sendiri. Sehingga pada masa itu pengajaran tidak memberi makna mungkin menimbulkan ketegangan antara pengasuh dan kanak-kanak. Contohnya dalam satu kajian yang dijalankan oleh Balinsky (1983) memberi seorang kanak-kanak kembar dengan membuat latihan aktiviti seperti memanjat tangga dan memegang serta memanipulasi kiub.
          Anak kembar ini dapat menunjukkan beberapa kemahiran lebih daripada yang seorang lagi kanak-kanak kembar yang tidak dilatih, ia juga akan menguasai kemudian tanpa banyak latihan. Kanak-kanak tersebut akan berbuat demikian pada umur semasa. Dengan jelasnya, terdapat jadual waktu dalaman yang menentukan kesediaan untuk membuat sesuatu manakala kebaikan latihan awal bersifat sementara sahaja. Soal stimulasi awal konterversi awal impaknya usaha untuk mempercepatkan perkembangan motor awal mengeluarkan kesan kecil ( Cole & Cole, 1989).

PERINGKAT – PERINGKAT TEORI KEMATANGAN ARNOLD GESELL
          Menurut teori kematangan yang dibuat oleh Arnorld Gesell, beliau telah membahagikan kepada 5 peringkat dalam proses perkembangan kanak-kanak.  Peringkat pertama lahir sehingga 1 tahun iaitu 1 bulan menghasilkan tangisan berbeza-beza untuk menyatakan kehendak berlainan seperti lapar dan juga lampinnya basah, 4 bulan koordinasi fizikal berlaku seperti mata mengikut objek yang bergerak, 6 bulan bayi mula menggenggam objek, 7 bulan bayi boleh duduk & merangkak dan 12 bulan bayi mampu berdiri dengan berpaut pada perabot. Antara pergerakan yang terlibat semasa aktiviti di peringkat ini adalah psikomotor kasar dan psikomotor halus.
         
          Peringkat kedua, 1 - 2 tahun iaitu kemantangan fizikal dan mental mula meningkat, mula memahami makna ‘jangan’ dan pada umur 2 tahun mampu untuk berjalan tetapi dengan bantuan. Peringkat ketiga, 2 - 3 tahun iaitu koordinasi mata, tangan dan kaki mula terbentuk, boleh bercakap menggunakan ayat mudah dan boleh menguruskan diri seperti makan dan memakai kasut.  Peringkat keempat, 3 – 4 tahun iaitu koordinasi dan kematangan fizikal semakin kukuh dan boleh menuruti arahan mudah daripada ibu bapa.  Peringkat kelima, 4 – 5 tahun iaitu proses berinteraksi terbentuk, mula bersosialisasi, mengemukakan soalan berperingkat-peringkat dan bersedia untuk ke kelas prasekolah.

2.3 TEORI PERKEMBANGAN ROBERT HAVIGHURST
          Robert Havighurst dilahirkan pada 5 Jun 1900. Seterusnya membesar dan menerima ijazah Ph.D dalam bidang kimia pada tahun 1924 di Universiti Ohio. Setelah beberapa tahun, pada tahun 1974 Havighurst telah mendapat gelaran Profesor Emiritus in Development and Education dan berjaya menerbitkan buku hasil dari penulisan dan pengalaman beliau bertajuk “ Human Development and Education ” pada tahun 1953.
          Robert Havighurst menyatakan bahawa perkembangan seseorang kanak-kanak adalah dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Ini adalah merupakan satu elemen penting yang berperanan dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Beliau memfokuskan kepada keadaaan sekeliling atau persekitaran dimana tempat seseorang kanak-kanak itu membesar yang akan memberi dan meninggalkan impak samaada positif atau negatif bergantung kepada ibu bapa yang mencorakkan mereka. Menurut Robert Havighurst di dalam buku psikologi perkembangan halaman 19 - 25 menyatakan bahawa contoh persekitaran yang mempengaruhi kanak-kanak dapat dilihat dari segi pemakanan, rakan sebaya, guru, bahan bacaan dan media elektronik ( internet ).
         
          Bagi faktor persekitaran seperti pemakanan ianya dapat dilihat jika makanan yang diambil oleh ibu semasa mengandung adalah seimbang dan berzat maka, bayi di dalam kandungan akan membesar dengan sempurna dan sihat. Jika sebaliknya, berkemungkinan bayi akan mendapat penyakit seperti PKU. Ini adalah kerana kurangnya enzim di dalam badan bayi selepas di lahirkan. Seterusnya, bagi pemakanan untuk kanak-kanak adalah perlu diberi dengan makanan yang seimbang berdasarkan piramid makanan. Dari sini, ianya akan membantu kanak-kanak membesar dengan sihat dan cergas. Di samping itu, ianya dapat membantu dalam perkembangan kanak-kanak ke arah yang positif.
          Seterusnya, bagi faktor persekitaran seperti rakan sebaya pula, Havighurst menyatakan ini adalah kerana jika seseorang kanak-kanak itu berkawan dengan rakan yang manja, maka kanak-kanak itu akan sedikit sebanyak cenderong untuk menjadi manja dan inginkan belaian dan kasih saying dari ibunya. Jika dia tidak mendapat apa yang diinginkan seperti apa yang diperoleh olah kawannya, maka kanak-kanak itu akan cuba untuk memberontak. Ini terbuki bahawa paktor persekitaran memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan seseorang kanak-kanak.
          Selain dari itu, faktor persekitaran seperti bahan bacaan adalah sangat penting kerana ianya akan memberi pengaruh yang besar kepada pembaca. Jika bahan yang dibaca berfaedah dan bermanfaat maka selamatlah kanak-kanak tersebut. Sebaliknya jika tidak, ianya akan mempengaruhi perkembangan seseorang kanak-kanak seperti berkemungkinan lambat bertutur dan sebagainya. Dari sini, kita sebagai ibu bapa dan guru perlulah sentiasa membimbing dan membantu kanak-kanak dalam membentuk peribadi mereka supaya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, bangsa dan negara kelak. Menurut Havighurst, ibu bapa mahupun guru terutamanya perlulah menyediakan persekitaran yang kondusif dan selamat untuk kanak-kanak membesar dengan sempurna. Ini akan membantu kanak-kanak untuk berjaya.
          Ini dibuktikan lagi dalam Teori Robert Havighurst menyatakan bahawa setiap individu perlu membesar dan berkembang dengan melalui sebanyak 10 peringkat yang bermula dari peringkat bayi sehinggalah ke peringkat tua seterusnya meninggal dunia. Beliau memberitahu bahawa, jika seseorang individu itu tidak dapat mencapai tugas-tugas dalam setiap peringkat, maka dia akan berasa sedih dan kecewa. Ini akan cenderong kepada perkembangan kanak-kanak tersebut menjadi lewat dan tidak setaraf dengan kanak-kanak normal. Maka untuk membanteras gejala ini dari berlaku, guru perlulah menyediakan aktiviti yang bersesuaian dengan peringkat kanak-kanak seperti aktiviti dalam bentuk permainan mahupun lakonan. Hal ini dapat membentuk kreativiti kanak-kanak.
          Havighurst menyatakan bahawa tugas-tugas dalam perkembangan kanak-kanak hanya perlu dipelajari sekali sahaja seperti berjalan, berlari, perbezaan jantina dan sebagainya. Jadi ini dapat disimpulkan bahawa setiap perkembangan yang dialami oleh kanak-kanak perlulah dengan relaan kanak-kanak itu sendiri, bukan dengan paksaan yang diberikan oleh ibu bapa kerana dengan paksaan akan membuatkan kanak-kanak itu tidak berupaya untuk berdikari sendiri dan akan memberi kesan yang dalam terhadap perkembangan mereka.

PERINGKAT–PERINGKAT TEORI PERKEMBANGAN ROBERT HAVIGHURST
          Havighurst telah membahagikan kepada 10 peringkat dalam perkembangan kanak-kanak.  Peringkat pertama bayi dan awal kanak-kanak ( lahir – 2 tahun). Pada peringkat ini, bayi menjalinkan kasih sayang dengan ibu bapa, adik beradik dan pengasuhnya. Sistem deria dan fungsi motor beransur-ansur matang. Pada tahap ini kanak-kanak sepatutnya mencapai kecerdasan deria dan memahami sifat objek. Sebagai contoh adik ketawa sebab suka. Terdapat pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak mereka seperti membantu mereka makan, bermain bersama dan membantu anak-anak mandi dengan betul.
          Peringkat kedua pertengahan kanak-kanak “ Toddlerhood” (2-3 tahun). Kanak-kanak boleh melakukan pergerakan yang pelbagai seperti turun naik tangga. Kanak-kanak juga boleh berkomunikasi dengan bahasa mudah. Penglibatan mereka dalam permainan fantasi mula mengawal pergerakan diri. Sebagai contoh menjadikan pisang sebagai telefon dan roda atau pelampung sebagai stereng kereta. Ini mendorong kepada pembentukan daya imaginasi kanak-kanak. Cadangan aktiviti adalah bermain kereta mainan,lego atau blok. Dari sini, alat permainan mampu meningkatkan kemahiran motor halus mahupun kasar kanak-kanak.
          Peringkat ketiga prasekolah (4 – 6 tahun ). Kanak-kanak mula belajar peranan mengikut jantina masing-masing .Misalnya kanak-kanak perempuan meniru peranan ibu seperti memasak, membasuh kain dan mengemas rumah. Kanak-kanak juga mula bermain dengan rakan di luar dan wujudnya perkembangan moral. Pada peringkat awal perkembangan moral, iaitu jika mereka jahat mereka akan didenda. Mereka mula bermain dalam kelompok atau kumpulan kanak-kanak yang lain. Sebagai contoh, apabila ibu memasak anak akan datang membantu seperti membasuh sayur, mengupas bawang dan meramas santan .Melalui aktiviti ini,kemahiran motor halus dan kasar dapat ditingkatkan.
          Peringkat keempat sekolah rendah ( 6 – 12 tahun ). Kanak-kanak mula belajar bersahabat. Dari segi kognitif,kanak-kanak ini berada pada tahap operasi konkrit iaitu mula menguasai 3M seperti membaca, menulis dan mengeja. Pada peringkat ini,kemahiran permainan dan kognitif terbentuk kerana perkembangan fizikal dan dengan adanya galakkan daripada ibubapa. Kanak-kanak turut mengalami perkembangan kendiri yang positif seperti menjaga kesihatan.
          Peringkat kelima awal remaja ( 12 – 18 tahun ). Pada tahap ini, remaja akan mencapai tahap kematangan fizikal seperti tinggi yang maksimum. Dari segi kognitif pula, mereka berada pada peringkat operasi formal. Dari segi emosi, wujudnya berbagai emosi dalam diri remaja seperti ingin Berjaya dan mereka mampu untuk kawal emosi. Remaja pada peringkat ini akan membentuk kumpulan rakan sebaya dan mula tertarik pada lain jantina.
          Peringkat keenam akhir remaja (18 – 22 tahun). Remaja cuba mempengaruhi otonomi daripada ibu bapa. Remaja mula membentuk identiti mengikut jantina iaitu lelaki atau perempuan.Melalui pergaulan sosial, remaja akan mematuhi nilai moral masyarakat. Pada peringkat ini juga,mereka mula memilih kerjaya yang sesuai dengan diri mereka.
          Peringkat ketujuh awal dewasa ( 22 – 34 tahun ). Pada peringkat ini,seseorang akan meneroka persahabatan intim yang berlainan jantina.Bagi pasangan yang telah berkahwin akan mengasuh dan mendidik anak- anak.Selain itu,individu berusaha memantapkan profesion serta wujud kehidupan sendiri.
          Peringkat kelapan pertengahan dewasa ( 34 – 60 tahun). Peringkat ini, individu mempunyai berkemahiran dalam pekerjaan dan menjadi ketua. Seseorang individu yang berjaya mampu memupuk kebahagiaan dalam rumahtangga, mengasihi keluarga dan mengumpul harta. Individu peringkat ini banyak terlibat dengan kerja amal.
          Peringkat kesembilan akhir dewasa ( 60 – 75 tahun ). Individu pada peringkat ini telah bersara dan lebih menumpukan masa kepada kerja-kerja amal dan ibadat. Individu turut menjalani kehidupan hari tua, mensyukuri nikmat dan takdir Allah. Selain itu,individu pada peringkat ini berfikir tentang perkara yang telah dilakukan semasa hidupnya.
          Peringkat kesepuluh tua ( 75 tahun – meninggal dunia ). Pada peringkat ini mereka mula menangani masalah kesihatan seperti osteoporosis, nyanyok dan menopause. Mereka turut mengenang zaman muda dan dewasa. Bagi individu yang berjaya mereka akan berasa puas hati dan tenang sambil menanti saat untuk meninggal dunia.

2.4 TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK PSIKOSOSIAL ERIKSON
          Erik Erikson merupakan seorang tokoh psikologi yang membentuk satu teori yang komprehensif tentang perkembangan manusia berdasarkan jangkamasa kehidupan mereka. Beliau membentuk teori berdasarkan kepada pengalaman kehidupannya sendiri. Teori beliau digelar psikososial kerana beliau menggabungkan 3 faktor yang mempengaruhi perkembangan individu iaitu faktor kendiri, emosi dan faktor sosial
          Salah satu elemen penting dalam peringkat teori perkembangan erikson ialah perkembangan identiti ego. Identiti ego ialah kesedaran diri yang dikembang melalui interaksi sosial. Menurut Erikson, identiti ego individu biasanya berubah selaras dengan pengalaman dan maklumat baru yang diperoleh hasil daripada interaksi dengan orang lain. Tambahan kepada identiti ego, Erikson juga percaya bahawa perasaan yakin kepada kemahiran dan kecekapan diri juga memotivasikan sikap dan tindakan seseorang.
          Setiap peringkat dalam teori  Erikson menitikberatkan perkembangan kemahiran yang sesuai pada sesuatu tahap atau bahagiam dalam kehidupan. Jika sesuatu peringkat dikawal dengan baik individu tersebut  mempunyai masteri (sense of mastery). Sebaliknya jika sesuatu peringkat gagal diurus dengan baik, individu tersebut akan mempunyai  perasaan ketidakcukupan. Menurut Erikson, setiap tahap mempunyai konflik dan konflik ini mesti diatasi sebelum individu  dapat berfungsi dengan jayanya pada tahap berikutnya. Kegagalan mengatasi konflik pada tahap sesuatu tahap akan menjejaskan perkembangan tahap yang berikutnya.
         
TAHAP-TAHAP PERKEMBANGAN PSIKOSOSIAL ERIKSON
          Terdapat 8 jenis dalam tahap-tahap perkembangan psikososial Erikson. Antaranya ialah psikososial tahap 1- percaya lawan tidak percaya, psikososial tahap 2 – autunomi lawan rasa malu/sangsi,psikososial tahap 3 – inisiatiflawan rasa bersalah, psikososial tahap 4 – industry lawan rasa rendah diri, psikososial tahap 5 – identity lawan kekeliruan, psikososial tahap 6- kemesraan atau pengasingan diri, psikososial tahap 7 – generativiti lawan pemusatan dan psikososial tahap 8 – kesepaduan lawan putus asa.
Psikososial tahap 1- percaya lawan tidak percaya         
          Tahap pertama teori perkembangan psikososial Erikson adalah di antara waktu kelahiran sehingga berusia 1 tahun. Ia adalah tahap pertama di dalam kehidupan. Oleh kerana bayi sepenuhnya bergantung pada orang lain, perkembangan rasa percaya yang dibentuk olehnya adalah berasaskan kepda kepercyaan dan kualiti penjaga kepda bayi tersebut. Oleh kerana bayi sepenuhnya bergantung pada orang lain, perkembangan rasa percaya yang dibentuk olehnya adalah berasaskan kepada keupayaan dan kualiti penjaga kepada bayi tersebut.
·         Apabila seorang bayi berjaya membangunkan perasaan percaya, dia akan rasa selamat dan dilindungi di dalam dunia ini. Penjagaan yang tidak stabil, emosi terganggu dan rasa terasing yang akan menyebabkan bayi yang dijaga mempunyai perasaan tidak percaya pada persekitarannya. Kegagalan mengembangkan rasa percaya akan melahirkan perasaan takut dan yakin bahwa dunia ini tidak tenteram dan tidak dapat diramal dan dipercyai.
Psikososial tahap 2 – autunomi lawan rasa malu/sangsi
·         Tahap kedua teori perkembangan psikososial Erikson adalah di sepanjang peringkat awal kanak-kanak dan ia tertumpu pada pembentukan perasaan keyakinan diri pada kanak-kanak tersebut. Sama seperti Freud, Erikson juga percaya latihan ke tandas merupakan bahagian penting dalam proses ini. Namun alasan yang diberikan oleh Erikson adalah berbeza dengan Freud. Erikson percaya bahawa pembelajaran untuk mengawal fungsi tubuh seseorang akan membawa kepada tindak balas terkawal dan kemahuan untuk berdikari.
          Kaedah lain yang penting termasuk memberi lebih banyak peluang kepada kanak-kanak untuk membuat pilihan makanan, permaianan dan pakaian. Kanak-kanak yang berjaya melengkapkan tahap ini akan rasa selamat dan yakin, sementara mereka yang gagal akan mempunyai perasaan ketidakcukupan dan rasa sangsi.
Psikososial tahap 3 – inisiatif lawan rasa bersalah
         Kanak-kanak pada tahap ini mula berinteraksi dan terdedah kepada persekitaran. Mereka cuba mengambil banyak inisiatif untuk melakukan sesuatu yang baru bagi memenuhi naluri ingin tahu mereka. Namun jika ibu bapa mengkritik atau menggunakan dendaan atau kekerasan terhadap tingkah laku mereka, ini akan menyebabkan kanak-kanak tadi mempunyai perasaan bersalah pada diri dan tidak berinsiatif atau takut untuk melakukan sesuatu aktiviti.
Psikososial tahap 4 – industri lawan rasa rendah diri (6-12 tahun)
          Pada tahap ini kanak-kanak mula memasuki alam persekolahan, Pada tahap ini kanak-kanak perlu menguasai kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira. Tahap pemikiran mereka mula mencapai operasi konkrit dan mula berfikiran logik. Mereka melakukan sesuatu dengan penuh minat, yakin dan tekun. Tanpa bimbingan dan galakan daripda ibu bapa, guru dan rakan sebaya akan menyukarkan keupayaan, keyakian dan kebolehan kanak-kanak tersebut untuk berjaya.
Psikososial tahap 5 – identiti lawan kekeliruan (12-20 tahun)
         Pada tahap ini, remeja sama ada remaja awal atau reamaja akahir akan berusaha mencari identiti dan persepsi terhadap dunia mereka sendiri. Remaja yang mempunyai identitinya akan mencipta rancangan masa depan yang memuaskan dan rasa terselamat. Sebaliknya remaja yang gagal akan memperkembangkan rasa keliruan peranan, hidup yang tidak bermatlamat, rasa tersisih dan sukar membuat keputusan.
Psikososial tahap 6- kemesraan atau pengasingan diri (20 -40 tahun)
          Mula mencari kenalan atau cinta, Membentuk corak perhubungan dan memerlukan perhubungan bermakna dan kemesraan. Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan mendirikan rumah tangga. Dengan kata lain iaitu membolehkan orang dewasa akan berkongsi hidup bersama serta mencapai kemesraan atau kerapatan. Sebaliknya, orang yang masih bujang atau belum berkahwin akan merasa putus asa atau hidup dalam kekecewaan.
Psikososial tahap 7 – generativiti lawan pemusatan (40-65 tahun)
          Generativiti merujuk kepada usaha seseorang untuk memberi sumbangan atau perkhidmatan kepada generasi akan datang. Seseorang dewasa akan berpuas hati jika dapat membantu anak-anaknya menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat. Sebaliknya, individu yang hanya mementingkan diri sendiri dan tidak pernah memberi apa-apa bantuan kepada orang lain akan berasa kecewa dan kurang berpuas hati dengan hidupnya. Sebagai akibatnya, proses pemusatan kendiri akan berlaku pada individu tersebut.
Psikososial tahap 8 – kesepaduan lawan putus asa (65 tahun ke atas)
          Pada peringkat ini, seseorang dewasa akan melekukan refleksi kendiri. Dia akan mengingat kembali kejayaan dan kegagalan yang dialaminya pada peringkat awal. Jika seseorang berpuas hati dengan pencapaiannya pada peringkat awal, dia akan mencapai rasa kesepaduan. Jika sebaliknya, dia akan merasakan kegagalan dan hidup dalam berputus asa.

2.5 TEORI PERKEMBANGAN KANAK-KANAK LAWRENCE KOLHBERG
          Lawrence kolhberg dianggap pelopor utama dalam menghuraikan tentang teori perkembangan moral. Beliau berpendapat moraliti berkembang secara universal mengikut satu siri dari satu tahap kepada tahap yang lebih tinggi.          Beliau juga berpendapat bahawa jika kanak-kanak dibiarkan mengalami pelbagai konflik semasa berinteraksi dengan rakan-rakan,lama-kelamaan mereka menjadi mahir dalam menghadapi dilema, iaitu ada cara penaakulan yang lebih berkesan dan kompleks. Menurut beliau lagi, pengalaman perlu jika seseorang ingin mengambil kira perspektif orang lain. Tahap moraliti bagi awal kanak-kanak ialah moraliti prakonvensional. Perlakuan dinilai berdasarkan ganjaran dan hukuman yang akan diterima akibat perlakuan tersebut.

Peringkat 1: Orientasi Kepatuhan dan Hukuman
          Pada peringkat ini, pemikiran moral kanak-kanak lebih berorientasikan egosentrik yang mementingkan diri sendiri. Mereka lebih mementingkan kesan fizikal. Kanak-kanak mematuhi atau mengikut arahan kerana takutkan hukuman yang akan diterima sekiranya melanggar peraturan.
Peringkat 2: Orentasi Ganjaran Peribadi
          Individu melakukan sesuatu berdasarkan keinginan untuk mendapatkan balasan. Tingkahlaku didorong untuk memuaskan kehendak sendiri.
Pada tahap kedua ialah tahap  Konvensional
Individu mula mengaplikasi peraturan berdasarkan sesuatu yang telah ditetapkan.
Peringkat 3: Orientasi Perlakuan Baik
          Kanak-kanak atau remaja mula mengaplikasikan ukuran moral yang telah ditetapkan oleh ibu bapa, guru atau orang di persekitaran. Mereka menghargai nilai kepercayaan dan kepatuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
Peringkat 4: Akur kepada sistem sosial dan etika peraturan
          Perlakuan/penaakulan moral berdasarkan peraturan, undang-undang dan ketetapan yang telah ditetapkan oleh masyarakat. Pada peringkat ini individu percaya terhadap keutuhan undang-undang. Peraturan dan undang-undang perlu dipatuhi untuk menjaga kesejahteraan komuniti.
Tahap ketiga ialah  Pos- Konvensional
Pada tahap ini individu mula meneroka pilihan dalam penaakulan moral. Mereka mempunyai kod moral dan etika yang tersendiri.
Peringkat 5: Etika Kontrak Sosial dan Hak Individu
          Individu berhujah menggunakan nilai, hak dan prinsip. Mereka menilai undang-undang yang ditetapkan berdasarkan hak individu. Pemikiran moral pada peringkat ini adalah berkaitan dengan usaha untuk mempertahankan hak-hak asasi, nilai-nilai yang telah dipersetujui dalam sesebuah masyarakat. Mereka melihat undang-undang sebagai sesuatu yang fleksibel dan mempunyai alternatif. Undang-undang dipatuhi sekiranya ia menepati hak-hak individu.
Peringkat 6: Etika Prinsip Sejagat
          Peringkat tertinggi dalam perkembangan moral kerana ia melibatkan soal falsafah tentang moral seseorang. Pada peringkat ini individu telah mempunyai kod-kod moral dan etika yang tersendiri yang menepati hak-hak individu sejagat. Mereka mementingkan kesamaan hak kepada semua individu dan menghormati maruah dan prinsip individu lain.

3.0 KESIMPULAN
Kesimpulannya, terdapat pelbagai teori pengajaran dan pembelajaran yang telah dikaji oleh ahli-ahli psikologi kognitif.  Teori-teori ini boleh digunakan oleh guru-guru dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Di samping itu, guru-guru perlulah memahami pendekatan-pendekatan yang boleh digunakan berdasarkan teori-teori pengajaran pembelajaran yang ada.
Ahli-ahli pengkaji teori perkembangan kognitif ini menganggap bahawa pembelajaran merupakan satu proses mental. Prinsip ini menekankan kepada konsep berfikir di mana guru-guru perlu mengaplikasikan aktiviti yang menggalakkan proses berfikir di dalam bilik darjah. Mereka juga berpendapat bahawa perkembangan kanak-kanak berlaku secara berperingkat. Proses pembelajaran kognitif melibatkan pergerakan daripada yang mudah kepada yang kompleks.
          Teori pembelajaran kognitif juga menganggap bahawa pembelajran adalah satu keseluruhan. Prinsip ini mengetengahkan proses pengamatan dan pembinaan konsep yang bererti keseluruhan adalah penting untuk mendapatkan makna dan fungsi yang tepat. Teori dan model kognitif juga mengutamakan kesediaan dan pengalaman belajar. Pembelajaran yang berasaskan kepada dua elemen ini memudahkan guru  merancang pembelajaran,  bahan-bahan mengajar, dan memilih strategi pengajaran yang sesuai. Murid-murid juga akan berpeluang mengikuti pembelajaran yang lebih bermakna yang disediakan mengikut tahap kemampuan intelektual mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan